Musim perkahwinan telah pun berlalu pada cuti sekolah 2016 baru-baru ini. Dengan berakhirnya musim lalu, kini tibalah masanya untuk mula bercakap tentang 11 trend perkahwinan 2017 yang dijangka akan meletup-letup pada tahun in. Trend yang kami kongsikan di dalam artikel ini mengambil idea dan inspirasi daripada apa yang kami lihat pada tahun lepas. Antara yang dijangka akan menjadi trend adalah pelamin terkini 2017, baju pengantin songket, dan tema warna perkahwinan 2017. Tak sabar hendak tengok trend apa lagi yang bakal menjadi ‘hot’ pada kali ini? Jom baca!

Trend #1 – Inai Bunga Putih

Source: Cari.com.my

Selama berdekad lamanya pasangan pengantin memakai inai merah di jari. Sehinggakan, ada banyak lagu perkahwinan yang menyebut tentang warna inai sebegini. Namun, antara trend perkahwinan 2017 yang akan mula mendapat tempat di hati ramai pengantin ialah inai berbunga berwarna putih.

Sememangnya, inai berwarna terang ini adalah satu perkara yang baru untuk majlis perkahwinan. Namun, tidak dapat dinafikan, warna putih (dan kadangkala ada yang memilih warna silver/perak) memang mudah masuk dengan pelbagai tema warna baju pengantin 2017. Sebab itulah, ramai yang telah mula suka akan warna inai putih. Ia amat sesuai untuk dijadikan sama ada corak floral atau corak abstrak!

Trend #2 – Iringan Gadis Pengapit & Bridesmaids

Source: Pinterest.com

Jika dahulu, iringan gadis pengapit tidaklah wajib. Kadangkala, ada pengantin yang hanya diiringi oleh seorang tukang kipas. Dia jugalah yang menjadi tukang payung, tukang mengelap peluh, dan tukang membetulkan baju, veil atau drape baju pengantin. Namun, trend perkahwinan 2017 yang akan terus menjadi hot pada tahun ini ialah trend iringan gadis pengapit atau pun turut dikenali sebagai bridesmaids.

Yang menariknya tentang bridesmaid ini adalah mereka akan tampil cantik sedondon untuk dipadankan dengan baju nikah 2017 anda. Dan, mereka turut mampu menjadi penyeri atau tarikan buat sesuatu majlis. Mereka akan turut serta dalam sesi fotografi anda di tepi pelamin terkini hingga riuh rendah jadinya. Jadi, jika anda bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi, pastikan anda sudah mula menyenaraikan nama kawan anda yang akan menjadi gadis pengapit!

Trend #3 – Gabungan Tema berwarna Peach Rose & Biru Quartz

Source: Ayueidris.com

Beberapa tahun yang lain, tema warna pastel pink muda, turquoise, atau ungu muda pernah menjadi popular. Namun, hari ini, muncul pula satu tema warna pengantin 2017 yang layak diberi anugerah warna tahunan iaitu peach rose dan biru quartz. Anda pernah dengar akan kedua-dua tona warna ini? Ia sememangnya satu gabungan tona yang nampak mewah dan mahal.

Gabungan warna peach rose dan biru quartz juga turut dikenali warna Pantone. Ia telah menjadi kegilaan warna di barat dan dijangka akan mula menjadi terkenal di Malaysia pada tahun ini. Ramai yang sukakan kelembutan warna peach rose dan bagaimana warna biru quartz menaikkan seri warna rose tersebut. Memang cantiklah senang cerita! Anda boleh cuba tema warna ini untuk mendapatkan pelamin terkini 2017 dan baju kahwin 2017 yang menjadi bualan ramai.

Trend #4 – Baju Pengantin Songket Moden

Source: Hanasuva.com

Songket adalah kain hasil tenunan tangan dan menjadi warisan turun-temurun orang Melayu. Ia telah menjadi bahan utama untuk kain pengantin sejak dahulu lagi. Namun, ramai yang mula meninggalkannya kerana inginkan sesuatu yang lebih moden. Pada hari ini, kelihatan seperti songket mula muncul kembali sebagai antara material baju pengantin yang popular. Selain itu, kain songket juga turut di pilih sebagai material hiasan backdrop untuk pelamin 2017.

Bahkan, ramai selebriti dan artis tanah air yang mula memilih untuk mengenakan baju pengantin songket di dalam majlis persandingan mereka. Namun, sedikit sentuhan moden telah dikenakan. Sebagi contohnya, warnanya tampil lebih lembut dan diserikan dengan tenunan benang berwarna silver. Ia nampak gah dan eksklusif – anda patut cuba trend baju pengantin 2017 ini.

Trend #5 – Dulang Hantaran Perkahwinan Kotak Palet

Source: Pinterest.com

Lagi satu trend perkahwinan 2017 yang kami rasa akan turut menjadi ikutan ramai raja sehari adalah trend gubahan hantaran yang agak hipster tetapi simple dan menarik – kotak dulang palet. Dengan menggunakan kotak kayu palet sebagai dulang untuk barang hantaran, barangan tersebut nampak elok terpamer di tepi pelamin kahwin 2017 anda.

Malah, proses menghias juga mudah. Cukup dengan sedikit selitan bunga segar di hujung kotak dan penyeri tambahan seperti reben pada barang hantaran. Memang nampak cantik. Yang lebih penting, barang mudah untuk diletakkan kerana ianya luas dan para bridesmaid dan dulang boys akan berasa lebih senang untuk membawanya.

Trend #6 – Pelamin 2017 Berkonsepkan Glam dan Bunga Segar

Source: Stylebysya.com

Antara pereka design yang paling popular di negara kita ialah Rizalman Ibrahim dan beliau sememangnya seorang yang sangat gemarkan konsep perkahwinan glam. Banyak koleksi pelamin kahwin Rizalman Ibrahim yang mengetengahkan konsep glam. Apakah konsep glam? Ia adalah hiasan bunga segar yang padat berserta kemerlipan lampu limpah atau chandelier yang cukup menawan kalbu.

Dengan konsep glam pelamin 2017, hamparan bunga segar seperti ros, hydrangea dan carnation penuh di hias di atas lantai. Para pengantin dan tetamu jemputan pasti akan dapat menghidu bau bunga segar ini. Tidak cukup di lantai, konsep glam pelamin 2017 juga turut mempamerkan hiasan kristal dan juraian bunga di bumbung pelamin kahwin – memang indah!

Trend #7 – Hadiah Doorgift Ikea

Source: Wanista.com

Anda perasan tak sejak kebelakangan ini, apabila anda pergi ke majlis perkahwinan, anda akan diberi beg goodie berisi barangan Ikea? Ya, kami juga merasakan bahawa trend beg goodie hadiah Ikea akan terus menjadi trend di negara kita buat tahun 2017 dan beberapa tahun akan datang. Jadi, mengapa agaknya ramai yang memilih untuk memberikan hadiah dari Ikea?

Pertamanya, rekaan barangan Ikea sememangnya moden. Yang paling penting, harganya tidaklah terlalu mahal. Sangat praktikal rasanya jika anda memberi Jam Rusch Ikea kepada para tetamu kerana mereka sudah pasti boleh menggunakan jam tersebut di rumah mereka.

Trend #8 – Kek Bertingkat Floral Tema Pantone

Source: Insidewedding.com

Seperti kami bincangkan di trend perkahwinan 2017 di atas, warna pantone di jangka akan mula menjadi popular pada tahun ini. Maka, kami turut merasakan yang hiasan kek kahwin bertingkat berkonsepkan warna peach rose and biru quartz juga akan turut menjadi pilihan ramai bakal pengantin.

Jika dahulu, kek pengantin telah berubah menjadi kek cupcakes (ketika zaman kek cawan meletup), namun tahun ini, kek kahwin bertingkat akan kembali menjadi trend. Jika anda sedang mencari idea hiasan kek pengantin, maka pertimbangkanlah kek bertingkat quartz dan peach ini. Pasti ramai yang akan menangkap gambar selfie di kek yang indah ini!

Trend #9 – Khemah Marqueet

Source: Marqueehire.com

Jika anda bakal melangsungkan majlis persandingan di hotel atau di dewan serbaguna berhampiran rumah anda, mungkin trend kahwin ini tidak ada kena-mengena dengan anda. Namun, bagi mereka yang akan membuat majlis di ruangan terbuka seperti di taman, tepi tasik, di hadapan rumah, atau pun menyewa di kawasan khas, pasti anda terpesona dengan rekaan khemah kahwin marquee.

Khemah kahwin Marquee Tent menampilkan hiasan kain panjang yang berjuraian dan bercorak di atas siling khemas. Ada yang turut menghiasinya dengan lampu chandelier kristal dan lampu berkerlipan. Khemas sebegini memberi sedikit rasa ala-ala ‘Sahara Tent’ dan kelihatan mewah dan unik. Ia lebih cantik daripada khemah kahwin biasa yang kita selalu lihat sebelum ini.

Trend #10 – Hiasan Meja Makan Pengantin Ala Inggeris

Source: Greenhouseloftwedding.com

Jika dahulu, meja makan pengantin selalunya tampil ringkas dengan hiasan. Yang selalu menjadi tumpuan di meja makan raja sehari adalah hiasan makan itu sendiri. Contohnya, ayam golek, tembikai yang di ukir, serta susunan tinggi udang galah. Namun, kami juga semakin perasan yang hiasan meja pengantin ala Inggeris juga mula menjadi pilihan ramai.

Hiasan bunga segar (bukannya bunga plastik) di lihat semakin banyak diletakkan di atas meja berserta dengan susunan kemas pinggan putih dan cawan tinggi. Tidak cukup dengan itu, lilin cawan juga turut diletakkan untuk menghasilkan rasa intim. Anda memang patut cuba trend kahwin sebegini pada tahun ini!

Trend #11 – Dulang Boys Sedondon

Source: Pinterest.com

Terakhir sekali, trend perkahwinan 2017 yang akan terus meletup pada tahun ini adalah rombongan pengantin lelaki yang diiringi oleh dulang boys. Trend ini bukan menampilkan pengiring lelaki yang biasa-biasa. Namun, mereka ini juga turut tampil sedondon dan bergaya – sama cantik dengan baju kahwin 2017 anda!

Tugas dulang boys juga tidak terhad kepada membawa dulang ketika majlis bertandang sahaja, namun turut bertanggungjawab menjaga keperluan pengantin lelaki sepanjang majlis dan kadangkala turut mengusik pasangan mempelai tersebut. Memang meriah majlis anda nanti jika anda mempunyai entourage istimewa dulang boys ini.

Jadi, apa pendapat anda tentang trend kahwin yang kami kongsikan di sini? Jika anda inginkan majlis persandingan yang up-to-date, indah, dan meriah, bolehlah kiranya anda mengaplikasikan salah satu daripada trend kahwin di atas.

Comments

Leave a Reply