Selalunya apabila kita sudah sampai seru dan mula mempertimbangkan untuk mendirikan rumah tangga, sudah pasti kita tidak dapat mengelak daripada berfikir sama ada pasangan kita sekarang itu adalah jodoh sejati kita. Selalunya agak sukar untuk kita tahu. Sebelum itu, kita sudah berbincang 15 Tanda Yang Dia Jodoh Terbaik untuk Kita. Namun, ada beberapa perkara yang boleh jelas terlihat iaitu 15 tanda yang si dia bukan jodoh anda! Jom kita tengok apakah petunjuk-petunjuknya!

Source: Stocksnap.io

 

1.     Anda Selalu Rasa Dihakimi

Jika anda masih dalam fasa berkenal-kenalan atau masih dalam alam pertunangan, ada petanda yang dia itu bukan jodoh yang sesuai untuk anda.

Adakah anda selalu rasa dihakimi? Jika ya, mungkin anda perlu berfikir semula tentang mengahwininya.

Selalunya, orang yang suka menghakimi orang lain dan tidak pernah meletakkan segala punca masalah atas bahu sendiri adalah orang yang tinggi egonya.

Dan, secara berterus terang, orang yang mempunyai ego setinggi langit sangat sukar untuk diuruskan!

 

2.     Perhubungan Berterusan Bertahun-Tahun Tanpa Hala Tuju

Cinta monyet sejak dari bangku sekolah memang kelihatan sweet dan indah. Tetapi, cuba fikir sejenak.

Jika pasangan anda sudah lama bersama dengan anda, namun tidak pernah sekali pun berbincang tentang perkahwinan, maka ia boleh menjadi petunjuk yang si dia bukan jodoh anda!

Kan kita selalu lihat yang pasangan mempunyai jodoh tidak perlu bercinta lama-lama. Ada yang terus berkahwin selepas berkenalan selama 2 minggu sahaja.

Yang penting bukannya tempoh percintaan tetapi tahap persefahaman antara pasangan!

 

3.     Semua Perkara Dirasakan Sukar dan Memeritkan

Lagi satu tanda yang si dia bukan jodoh kita adalah segala urusan dalam perhubungan mahupun persediaan ke arah pertunangan dan perkahwinan dirasakan sangat susah.

Source: Syalizlovebubbles.blogspot.com

Malah, pergaduhan yang berlaku turut memeritkan jiwa raga. Jika ia terjadi, maka berhati-hati.

Mungkin ini petanda dari Tuhan yang si dia itu bukan jodoh yang telah tertulis buat kita. Orang yang lebih sesuai mungkin masih berada di luar sana.

 

4.     Anda dan Pasangan Tiada Rasa Rindu Antara Satu Sama Lain

Pasangan yang telah dijodohkan untuk bersama dalam dunia perkahwinan selalunya dianugerahkan oleh Allah dengan perasaan sayang dan rindu.

Tetapi, jika anda tidak pernah sekali pun berasa rindu ketika berjauhan dengan pasangan, mungkin anda perlu berfikir kali kedua sebelum meneruskan perhubungan ke tahap yang lebih serius.

Cuba juga tanya pasangan anda sama ada dia ada teringatkan anda ketika outstation atas urusan kerja atau tidak bertemu selepas beberapa hari.

Jika dia pun tidak pernah terdetik rasa rindu, itu merupakan petanda yang dia bukan jodoh kita!

 

5.     Anda Tidak Teruja untuk Mengakhiri Perhubungan dengan Perkahwinan

Kita semua pernah melalui fasa ini – fasa di mana kita tidak pasti akan perasaan kita. Tetapi, percayalah.

Jika pasangan kita itu telah ditulis jodohnya di Luh Mahfuz, pasti Allah akan mendatangkan satu perasaan yang tenang dan yakin (saya pernah melaluinya!).

Sewaktu persiapan perkahwinan, kita berasa teruja serta senang hati sahaja. Malah, segala persiapan untuk melangkah ke alam rumah tangga juga berjalan lancar.

Tetapi, jika anda berasa yang sebaliknya, iaitu langsung tidak teruja untuk berkahwin, maka itu mungkin salah satu tanda yang si dia itu bukan jodoh anda!

 

6.     Pergaduhan Sering Terjadi dan Si Dia Tidak Pernah Bertoleransi

Siapa yang tidak pernah bergaduh ketika sedang bercinta? Dalam perkahwinan pun sama. Pasti ada hari-hari di mana kita terasa hati dengan pasangan dan mula bermasam muka (kadangkala kita pun tak tahu apa sebabnya!).

Ada satu perkara yang anda perlu tahu: dalam perhubungan, perlu ada toleransi dan bertolak ansur.

Source: Tazkirah.net

Jika si dia yang bersalah, maka dialah yang sepatutnya beralah dan berbincang untuk berbaik semula.

Tetapi, jika anda sahaja yang perlu memujuknya setiap kali bertengkar, mungkin anda perlu lari jauh-jauh dari hubungan ini.

Nampak sangat si dia itu terlalu ego dan tidak menghargai anda, walaupun sebenarnya dia berada di pihak yang salah!

 

7.     Anda Tidak Dapat Mempercayai Dirinya

Pernah tak terdetik dalam hati anda yang si dia itu mungkin menipu atau curang di belakang anda.

Jika sekali sahaja anda terfikir tentang hal ini, masih tidak mengapa.

Namun, jika anda berasa seperti ini setiap kali dia tiada di sisi, maka anda perlu memikirkan semula arah tuju perhubungan ini.

Sama juga jika dia berasakan yang sama tentang anda. Seseorang yang tidak pernah mempercayai anda mungkin tanda yang si dia bukan jodoh anda!

 

8.     Si Dia Tidak Pernah Menjadi Yang Pertama untuk Anda Berkongsi Berita

Dalam perhubungan istimewa, selalunya pasangan kita akan menjadi antara yang pertama mendengar sebarang khabar – berita baik mahupun berita kurang baik – dari kita.

Contohnya begini: anda baru sahaja menerima tawaran naik pangkat dan anda kemudiannya menelefon ibu bapa, rakan baik serta memuat naik status gembira di FB atau Twitter.

Anda tidak langsung terfikir untuk menelefon pasangan anda. Haa…ini juga boleh menjadi petanda yang dia bukan jodoh anda!

 

9.     Tiada Rasa Kebersamaan Apabila Keluar Bersama

Ada orang bijak pandai pernah mengatakan yang kadangkala, kita akan berasa sunyi ketika bersama orang lain namun berasa meriah apabila bersendirian. Ironi, bukan?

Source: Onceuponimages.com

Percayalah, tidak mustahil untuk ia berlaku! Jika anda tidak pernah berasa gembira ketika keluar bersama pasangan, ini boleh menjadi petunjuk tentang dirinya.

Dengan tiadanya rasa kebersamaan itu, bagaimana untuk anda mengharapkan perkahwinan yang ceria dan membahagiakan?

 

10. Si Dia Tidak Memahami Diri Anda

Anda baru sahaja menerima tawaran kerja tetap daripada boss anda dan si dia awal-awal lagi sudah memberi amaran yang anda perlu menjadi suri rumah sebaik sahaja berkahwin.

Apakah petandanya ini? Ia menunjukkan yang si dia tidak langsung memahami anda.

Cita-cita, hobi, impian dan angan-angan anda, mungkin dia tidak pernah (dan tidak mahu!) ambil tahu.

Jika itulah yang terjadi kepada anda sekarang, saya ingin menasihatkan supaya berfikir dalam-dalam tentang pasangan dan arah tuju perhubungan anda berdua.

 

11. Pasangan Anda Fobia Dengan Komitmen

Bukan semua orang berasa senang dengan komitmen jangka pangjang.

Namun, seseorang yang matang pasti akan menyediakan diri untuk menghadapi komitmen besar tersebut – perkahwinan.

Adakah tunang anda sering meluahkan rasa fobia dan tidak senangnya dengan komitmen dalam alam rumah tangga?

Source: Planyourwedding.my

Jika ya, ini juga boleh menjadi petanda supaya anda segera angkat kaki!

Kalau anda tidak mengambil serius tentang hal ini, tidak mustahil untuk perhubungan suci tersebut gagal di pertengahan jalan.

 

12. Pasangan Anda Enggan Berkomunikasi dan Berbincang

Antara tanda yang si dia bukan jodoh anda adalah jika pasangan anda sering mengelak dari berbincang tentang segala hal.

Contohnya, dia baru sahaja menukar aksesori keretanya, sehingga mencecah RM10,000, tanpa memberitahu anda!

Apabila anda bertanya tentang mengapa dia mampu untuk menghabiskan ribuan ringgit untuk sport rim mahupun cat kereta baru tetapi tidak mahu meluangkan sedikit kos untuk urusan perkahwinan, maka ketahuilah, itu petanda dia bukan jodoh kita!

Dia belum matang dan tidak bersedia untuk ke arah hubungan rumah tangga.

 

13. Anda Terasa Si Dia Tidak Sekufu Dengan Anda

Ada orang berasa cukup jatuh hati dengan pasangan namun apabila mengetahui lebih lanjut tentang latar belakangnya, terus berasa tidak selesa.

Kita terfikir sama ada si dia itu sekufu atau tidak dengan kita. Sekufu bermaksud kesesuaian dari pelbagai aspek diri dan keluarga.

Jika cara hidup dirnya serta keluarga jauh berbeza, umpama langit dengan bumi, dengan gaya hidup anda dan keluarga, itulah tanda yang anda tidak sekufu dan mungkin tiada jodoh untuk berdua!

 

14. Ibu Bapa Tidak Merestui Perhubungan Anda Berdua Sejak Sekian Lama

Ibu bapa tidak merestui perhubungan anda berdua? Itu mungkin perkara biasa. Ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.

Source: Zaiditaharim.com

Anda hanya memerlukan sedikit masa dan usaha untuk meyakinkan ayah dan ibu yang dia itu sememangnya pasangan secocok kita.

Tetapi, jika sudah mencuba sehingga 10 tahun, ketahuilah bahawa itu mungkin petanda yang dia bukan jodoh kita!

Pasti ada sebabnya mengapa ibu bapa anda masih tidak dapat menerima dirinya dan memberkati perhubungan kamu berdua!

 

15. Jauh di Lubuk Hati, Anda Tahu Si Dia Bukanlah Mr. atau Mrs. Right

Akhir sekali, ini adalah antara petanda utama yang dia bukan jodoh kita – anda tahu tentangnya.

Ya, anda sendiri yang tahu! Bagaimana? Dengan detik hati dan perasaan.

Walaupun anda terus meyakinkan diri yang si dia itu mungkin pasangan buat anda, ia sebenarnya adalah percubaan anda untuk menipu diri sendiri.

Setiap malam sebelum tidur, anda pasti terfikir-fikir dan terus berasa ragu.

Jika anda ada rasa tidak sedap hati sebegini, nasihat saya adalah, dengarlah suara dari lubuk hati itu – anda pasti tidak akan menyesal.

 

Jadi, bagaimana? Membantu tak artikel ini untuk mengetahui tanda yang si dia bukan jodoh anda? Kalau ya, kongsikan artikel di laman sosial dan jangan lupa tulis komen serta perkongsian anda di ruangan komen di bawah.

Comments

Leave a Reply