Kita percaya yang hidup, mati, rezeki, pertemuan, dan jodoh itu adalah ketentuan Tuhan. Walaupun begitu, sebagai manusia, kita masih lagi disuruh supaya berusaha untuk mendapatkan yang terbaik dalam hidup kita. Adakah anda kini di persimpangan jalan, tercari-cari jodoh yang sesuai? Di sini, kami ada berkongsi tentang 15 tanda yang dia jodoh terbaik untuk kita! Lihat senarai berikut dan kenalpasti sama ada pasangan anda memenuhi kriteria yang kami sebutkan di bawah.

15 Tanda Yang Dia Jodoh Terbaik untuk Kita

Source: Pexels.com

 

1.     Dia berkongsi nilai dan prinsip hidup yang sama dengan anda

Antara perkara yang menggalakkan perhubungan jangka masa panjang, yang kita tahu penting bagi satu-satu perkahwinan, adalah prinsip hidup yang sama.

Apabila kita dan pasangan mempunyai nilai hidup dan pegangan yang serupa, sangat mudah untuk kita berkongsi pendapat tanpa bergaduh dan mudahlah kita menjalani hidup berdua di alam rumah tangga.

 

2.     Anda dapat membayangkan masa depan bersama dengan si dia

Lagi satu tanda dia jodoh terbaik untuk kita seperti yang telah ditulis dalam Luh Mahfuz beribu tahun dahulu adalah anda dapat membayangkan hidup bersama dengan si dia sehingga 60 atau 70 tahun akan datang!

Kalau begitulah anda rasa setiap kali anda memikirkan tentang pasangan anda dan karakter dirinya, sememangnya itu boleh menjadi petanda yang dia jodoh kita.

 

3.     Dia mudah mesra dengan ahli keluarga anda

Bukan semua orang boleh mesra dengan keluarga kita. Ia memerlukan seorang yang matang dan berfikiran terbuka. Apabila pasangan anda berkunjung ke rumah untuk bertemu ibu dan ayah anda, cuba lihat bagaimana dia berinteraksi dengan mereka.

Jika anda lihat semuanya ok sahaja, mereka dapat berbual dengan mesra dan ibu serta ayah anda pun rilek sahaja melayan si dia, haa…itu boleh menjadi lampu hijau untuk anda meneruskan perhubungan kalian berdua.

 

4.     Anda berasa selesa dan gembira apabila berada di sampingnya

Seterusnya, ada lagi satu tanda yang dia jodoh terbaik untuk kita: anda tidak pernah berasa gusar atau tidak selesa ketika bersama dengannya.

Anda berasa selesa dan gembira apabila berada di sampingnya

Source: Nasirzin.com

Apabila anda keluar dan bertemu dengan pasangan, anda cukup rasa berbunga-bunga dalam hati, dan bukannya berasa rimas. Dia akan selalu membuat anda rasa tenang dan banyak benda yang anda boleh ceritakan ketika bersama.

 

5.     Anda melakukan aktiviti dan minat yang sama

Kalau tiba hujung minggu sahaja, pasti anda tercari-cari aktiviti menarik untuk dilakukan. Ketika ini, anda turut boleh melihat sama ada pasangan anda merupakan jodoh terbaik untuk anda.

Caranya? Cuba lihat, setiap kali anda bercadang untuk keluar berjalan-jalan di mall atau melakukan aktiviti lasak di extreme park atau hutan lipur, adakah si dia mudah untuk mengikut anda? Kalau dia berkongsi minat atau aktiviti yang sama, itu boleh dijadikan petanda yang dia jodoh kita!

 

6.     Terdapat persefahaman dan kepercayaan yang teguh

Dalam setiap perhubungan, rasa percaya dan kesefahaman yang kukuh amat penting. Kita bukan akan selalu bersama dengannya. Seharian ketika waktu kerja, anda pasti akan berpisah untuk seketika (yelah, pejabat kita kan berlainan!).

Jika anda percaya akan si dia dan tahu yang dia akan berkelakuan baik walaupun di belakang anda, itu menunjukan yang dia merupakan seorang yang sesuai buat anda.

 

7.     Dia tidak kedekut dan mengutamakan anda

Tiada yang lebih merimaskan selain mempunyai pasangan yang kedekut umpama haji bakhil! Kalau si dia sering menawarkan diri untuk membayar makan anda berdua (walaupun kadangkala anda menolaknya), maka ketahuilah yang dia mengutamakan anda.

Dia tidak kedekut dan mengutamakan anda

Source: Atanahmadphotography.com

Si dia itu sudi untuk berkongsi rezeki dengan anda dan ia boleh menjadikan satu perhubungan rumah tangga itu harmoni hingga ke akhir hayat. Tetapi, kalau dia mengelak untuk belanja anda makan, fikirlah dalam-dalam sebelum meneruskan perhubungan.

 

8.     Pergaduhan tidak pernah berpanjangan

Tipulah kalau kami kata yang perhubungan yang terbaik itu tidak pernah bergaduh. Sedangkan dengan adik-beradik yang sedarah dengan kita pun boleh bergaduh, apatah lagi dengan orang luar seperti pasangan kita.

Namun, ada satu petunjuk dalam hal ini yang boleh dijadikan sebagai tanda sama ada dia jodoh kita iaitu apabila anda berdua bertengkar, ia tidak pernah lama. Salah seorang pasti akan bertolak ansur dan memulakan proses perdamaian!

 

9.     Anda tidak segan untuk berkongsi masalah dengannya

Anda perasan tak ada sesetengan orang boleh membuatkan kita rasa tidak selesa untuk bercerita dengannya? Mungkin dia sejenis yang suka bercakap tentang hal peribadi kita kepada orang lain.

Anda tidak segan untuk berkongsi masalah dengannya

Source: Pexels.com

Tetapi, jika pasangan anda bukan seperti itu, maka si dia sangatlah sesuai dengan anda. Dia pandai menyimpan rahsia dan apabila bercerita kepadanya, dia sering mendengar dengan baik dan memberi nasihat yang berguna kepada anda.

 

10. Si dia menghormati anda dan sebaliknya

Katakanlah anda memberitahu si dia yang anda tidak mahu keluar hingga lewat malam bersama dengannya, cuba anda perhatikan sama ada dia menghormati keputusan itu ataupun tidak.

Jika ya, anda boleh menyimpulkan bahawa dia seorang yang berfikiran matang. Dia boleh menerima keputusan anda dan menghormatinya. Pegang dia kuat-kuat dan jangan dilepaskan – susah hendak cari orang begini!

 

11. Anda mudah menunjukkan kelemahan kepadanya tanpa rasa dihakimi

Ketika dalam proses perkenalan, adakah anda merasakan yang si dia untuk dapat menerima anda seadanya?

Anda mudah menunjukkan kelemahan kepadanya tanpa rasa dihakimi

Source: Cintaterindahsangarjuna.blogspot.my

Apabila anda menunjukkan kelemahan diri, seperti contoh mudah jatuh sakit atau mudah menangis, adakah dia akan memberi sokongan? Jika ya, maka ini boleh menjadi tanda yang dia jodoh terbaik buat kita.

 

12. Si dia suka bersembang dan bergurau dengan anda

Kalau si dia sering membisukan diri dan langsung tidak bersembang ketika berada bersama di dalam kereta atau ketika keluar makan bersama, maka mungkin ia boleh menjadi tanda yang dia tidak sesuai buat anda.

Tetapi jika dia mudah bergurau dan rajin bercerita, sama seperti anda, maka si dia memang tercipta sebagai pasangan hidup yang terbaik!

 

13. Daya tarikan yang kuat

Tanda yang seterusnya ini tidak dapat dilihat oleh orang lain tetapi boleh dirasakan oleh anda berdua sahaja, iaitu daya tarikan yang kuat. Ia tidak semestinya berkenaan dengan paras fizikal sahaja.

Kadangkala, anda mungkin tertarik dengan senyumannya yang manis atau sikap dedikasi, disiplin mahupun perangai kelakarnya. Tak kiralah apa sahaja, cuba lihat jika ada daya tarikan antara kamu berdua. Jika ya, ia mungkin menjadi petunjuk yang dia itu jodoh kita!

 

14. Persiapan perkahwinan mudah dan lancar sahaja

Orang dulu-dulu juga ada berkongsi petua dengan kita untuk menentukan yang si dia itu jodoh kita atau tidak.

Persiapan perkahwinan mudah dan lancar sahaja

Source: Hakamphotography.com

Mereka kata jika persiapan pertunangan dan perkahwinan kita bersama pasangan berjalan dengan mudah dan lancar, itu mungkin petanda dari Allah yang si dia itu jodoh kita!

 

15. Gerak hati yang baik terhadap pasangan

Selepas anda membuat solat istikharah untuk mendapatkan petunjuk dari Allah dan berdoa untuk mendapat jodoh yang terbaik, Tuhan pasti akan memberikan rasa dan gerak hati kepada anda.

Dengarlah gerak hati tersebut! Ia merupakan tanda yang penting dalam menunjukkan sama ada anda dengan pasangan sesuai untuk melangkah ke alam perkahwinan.

Selebihnya, terserah kepada anda untuk meneruskan perhubungan ke tahap yang lebih serius. Banyakkan berdoa dan berusahalah untuk menjadi insan yang terbaik buat si dia.

Tidak perlu mengharapkan kesempurnaan namun berlapang dadalah dalam setiap ketentuan jodoh yang Allah tetapkan buat kita – pasti akan ada sinar bahagia di hujungnya nanti. Percayalah!

Jangan lupa baca juga artikel kita tentang 15 Tanda Yang Si Dia Bukan Jodoh Anda sekira anda masih confuse lagi. 

Jika dia merupakan jodah yang terbaik, kemungkinan anda nak pertimbangkan persediaan perkahwinan juga. ^^

Kongsikan artikel ini jika anda rasa ianya menarik dan bermanfaat buat rakan taulan anda di media sosial. Dan, tulis pengalaman anda dalam mencari pasangan hidup di ruangan komen. Pasti pembaca yang lain berminat untuk mendengarnya!

Comments

Leave a Reply