Selain hal-hal berkaitan tempahan dewan majlis perkahwinan dan kad undangan jemputan, lagi satu perkara penting yang perlu dilakukan oleh pasangan pengantin adalah membeli barangan untuk dijadikan barang hantaran. Mungkin ada yang ingat ini perkara mudah – beli sahaja apa yang setiap pasangan inginkan. Namun, ia bukanlah begitu. Di dalam 10 tips memilih barang hantaran perkahwinan ini, kami akan kongsikan dengan anda apa yang patut dipertimbangkan ketika membuat pilihan.

Source: Pinterest.com

Tip #1 – Tetapkan Bajet untuk Barang Hantaran

Antara perkara pertama yang perlu anda lakukan di dalam memilih barang hantaran perkahwinan adalah menetapkan bajet terlebih dahulu. Kenapa bajet kewangan ini penting? Ia adalah untuk mengelakkan anda dan pasangan berasa terlebih teruja sehingga membazir semasa membeli barang gubahan dan barang hantaran.

Tetapkan Bajet untuk Barang Hantaran

Source: Hannissania.blogspot.my

Untuk memudahkan kerja anda dalam merancang kewangan, ketepikan bajet berasingan bagi tiga benda utama:

  • Bajet untuk dulang
  • Bajet untuk gubahan dulang serta upah penggubah dulang (jika ada)
  • Bajet untuk barangan hantaran yang akan diletakkan di atas dulang

Source: Myikhtiar.com

Dengan mengenepikan tiga bajet di atas, anda akan berasa lebih mudah untuk menyemak dan mengawal kos perbelanjaan perkahwinan anda nanti.

Tip #2 – Tentukan Jumlah Dulang

Setelah bajet ditetapkan di antara anda dan pasangan, seterusnya anda bolehlah menetapkan jumlah dulang yang ingin anda letakkan. Mengikut adat melayu tradisional, bilangan dulang untuk pasangan pengantin adalah dalam angka ganjil.

Tentukan Jumlah Dulang

Source: Bp.blogspot.com

Jika anda si pengantin perempuan bercadang untuk memberi 7 dulang sebagai hantaran untuk lelaki, pihak lelaki selalunya akan membalas dalam jumlah yang kurang sedikit daripada itu – biasanya 5 dulang.

Yang penting bukanlah bilangan dulang itu sendiri, namun persefahaman di antara pihak lelaki dan perempuan. Bawa berbincang dan tentukan jumlah dulang bersama-sama bagi memudahkan proses memilih barang hantaran perkahwinan yang seterusnya.

Tip #3 – Pilih Konsep Majlis dan Tema Warna

Antara tip penting dalam memilih barang untuk dulang hantaran adalah memilih konsep majlis dan tema warna terlebih dahulu. Ini adalah untuk mengelakkan daripada ketidaksepadanan di antara barang anda serta konsep keseluruhan majlis – boleh kekok jadinya kalau tidak masuk konsep!

Source: Instagram.com

Sebagai contoh, jika anda bercadang untuk membuat konsep perkahwinan dalam taman, barang gubahan tradisional seperti dulang sireh tembaga atau bunga telur di dalam bekas bunga tidaklah sesuai untuk konsep itu.

Sebagai panduan, lihat cadangan konsep majlis dan tema warna berikut yang mungkin bersesuaian untuk anda:

  • Konsep Klasik Tradisional Melayu – Warna yang sesuai adalah emas di raja, ungu manggis, hijau gelap, dan merah/maroon. Selalunya hiasan dulang akan merangkumi tepak sirih tradisional, bunga paha, bunga telur, dan hiasan bunga segar.
  • Konsep Perkahwinan Inggeris – Warna yang sesuai untuk konsep perkahwinan seperti ini adalah warna-warna pastel seperti putih, biru, kuning, merah jambu, dan hijau. Semuanya di dalam tona warna yang lembut. Hiasan dulang pula adalah seperti bunga hydrangea, lily, pot pori, kek/cupcakes, atau dulang moden seperti kaca atau dulang putih berenda bunga.

Source: Saihome2013.blogspot.my

  • Konsep Perkahwinan Hipster/Santai – Bagi konsep perkahwinan ini, pilihan warnanya adalah lebih banyak. Cadangan hiasan dulang pula adalah seperti alas dulang bantal, kayu palet atau pun sponge.

Setelah menetapkan konsep dan tema, anda boleh mula memilih barang yang ingin diletakkan di atas dulang. Pastikan ianya sesuai dengan konsep yang telah ditetapkan.

Tip #4 – Pelbagaikan Pilihan Barang Hantaran

Sebelum anda membuat senarai barang hantaran, berbincanglah dengan pasangan anda. Pastikan senarai tersebut dipersetujui bersama. Antara tips lain dalam memilih barang hantaran perkahwinan adalah untuk mempelbagaikan pilihan barang hantaran anda.

Source: Sensasi.org

Walaupun anda dan pasangan seorang pasangan muda yang moden, janganlah memasukkan barangan elektronik sahaja untuk dulang anda. Masukkan juga pilihan-pilihan lain bagi menaikkan seri dan mengurangkan kebosanan pada gubahan anda.

Antara gabungan barang yang kami cadangkan adalah seperti berikut:

Source: Chitobebearchocholategoldish.blogspot.my

  • Elektronik – Pakaian – Hiasan buah – Sepersalinan Pakaian
  • Set barang kemas – set baju kemeja/tali leher/kasut – set tradisional tepak sirih
  • Set hiasan coklat – sepasang telekung/kain pelekat – cek/kunci aset – elektronik
  • Set makeup – barangan elektronik – sepasang kain meter – cupcakes/kek

Cuba gabungan barang hantaran di atas dan lihat bagaimana ia membuatkan set gubahan anda lebih lengkap dan eksklusif!

Tip #5 – Buat Senarai Barang Hantaran

Sebaik sahaja gabungan barangan telah ditetapkan, maka inilah masanya untuk pergi membeli-belah. Tetapi, sebelum anda menyerbu Sogo, AEON, atau IOI Mall, pastikan anda bersedia dengan satu senarai barang yang lengkap – merangkumi barang hantaran dan aksesori hiasan dulang untuk gubahan.

Source: Eikeshu.blogspot.my

Senarai barang hantaran perkahwinan ini adalah penting bagi membolehkan anda kekal di dalam bajet kewangan yang telah anda tetapkan tempoh hari (lihat kembali tip #1). Selain itu, ia juga memudahkan kerja pembelian anda. Tidaklah anda perlu berulang-alik ke kedai untuk membeli barangan akibat terlupa atau tertinggal dari senarai.

Antara cadangan barangan yang kami ingin sarankan kepada anda adalah:

source: Hanyadihatiku.blogspot.com

  • Set Pakaian
    • Baju Kemeja Crocodile, Polo, Tommy Hilfiger
    • Baju Wanita Gucci, blouse, seluar pants, night dresses
  • Set Alat Makeup
    • Set barang makeup Mac, Brown, etc
  • Set Minyak Wangi
    • Giorgia Armani, Polo, Hugo Boss: barang hantaran untuk lelaki
    • Victoria Secret, Body Shop, Clinique, DKNY: barang hantaran untuk perempuan
  • Set Barangan Elektronik
    • Barangan Apple seperti iPhone, iPad, Macbook, etc
    • Barangan Samsung seperti Galaxy S7, Galaxy Edge, etc
    • Laptop seperti Dell, HP, Lenovo, etc
    • Kamera seperti Nikon, GoPro, Sony, Polaroid
  • Set Mas Kahwin
    • Cincin/barang kemas
    • Cek hantaran kahwin
    • Buku mas kahwin
    • Emas dinar/jongkong emas
  • Set Pakaian Sukan
    • Kasut Adidas, Nike, Puma, Reebok
    • Topi
  • Set Sembahyang Suami Isteri
    • Telekung Siti Khadijah, Kain Pelekat Gajah Duduk
    • Mushaf Al-Quran/sejadah
    • Kain meter untuk baju kurung /baju melayu
    • Kain sampin songket
  • Set Makanan
    • Cupcakes, kek Secret Recipe
    • Buah seperti epal, buah naga, anggur, oren, pear
    • Coklat Cadbury, Hersheys, Toblerone, Kinder Bueno

Jadi, bagi proses pemilihan dan pembelian barang hantaran yang lebih efisyen, pastikan anda pergi ke kedai dengan senarai barangan ini. Anda pasti akan berterima kasih kepada kami kelak.

Tip #6 – Beli Barang Hantaran Bersama-Sama

Rasanya, ramai bakal pengantin yang melakukan tip #6 ini namun masih ramai lagi yang tidak tahu akan kepentingannya. Kami mencadangkan kepada anda untuk pergi membeli barang hantaran bersama-sama kerana ia memudahkan dan mempercepatkan lagi proses pembelian.

Source: Mnhpopular.blogspot.my

Ini menjadi lebih penting terutamanya apabila anda membeli barangan ini ketika hujung tahun semasa Year End Sales (YES). Kompleks membeli-belah atau ekspo pengantin pada waktu ini selalunya akan penuh sesak dengan orang ramai. Mereka ingin berebut mendapatkan potongan diskaun yang menarik. Ambil peluang ini untuk membeli hantaran pertunangan dan kahwin anda.

Maka, jika anda pergi berpasangan, anda bolehlah ‘divide and conquer’. Barang anda dapat, masa pun anda jimat! Lagi sekali, pastikan anda kekal dengan bajet dan senarai barang yang telah ditetapkan.

Selain itu, proses ini juga akan mengajar anda untuk berkomunikasi dan bekerjasama dengan pasangan anda. ๐Ÿ˜‰

Tips Tambahan: Antara tempat yang bagus untuk anda kunjungi bagi membeli barang hantaran adalah seperti berikut:

Source: Bigsale.com.my

  • Sogo, KL – Beg tangan, kasut, set wallet/tali pinggang, set minyak wangi
  • AEON – Pakaian kerja, kemeja, blouse, kasut, dan elektronik
  • SEMUA House, Masjid India, KL – Barang aksesori pengantin, hiasan dulang, etc

Source: KLWeddings.wordpress.com

  • Pameran Pengantin, Ekspo Jom Kahwin, etc. Antara yang bakal diadakan adalah KL Wedding Fair 2017 di Mid Valley.

Tip #7 – Masukkan Barangan Wajib Hantaran

Okay, anda mungkin telah menyediakan senarai barang hantaran yang lengkap. Tapi, tunggu dulu. Pastikan anda memasukkan barangan wajib hantaran untuk diletakkan di atas dulang kahwin itu nanti.

Antara barangan wajib dan klasik yang tidak patut anda tinggal adalah:

  1. Tepak sirih
  2. Tapak cincin
  3. Kotak mas kahwin/hantaran
  4. Sepasang telekung/ mushaf Al-Quran/sejadah
  5. Beberapa makanan seperti kek, coklat, dan buah

Source: Dreamandfantasy.wordpress.com

Barangan di atas telah dimasukkan di dalam senarai gubahan dulang sejak turun-temurun, maka moleklah anda memasukkannya juga untuk dulang anda. Ianya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas!

Tip #8 – Serasikan Barang Hantaran dengan Gubahan Dulang dan Saiz Dulang

Apabila anda memilih barang di kedai, selain daripada jenama, pastikan anda mengambil kira saiz barangan tersebut. Ini adalah kerana, barang-barang ini akan diletakkan di atas dulang. Namun, jika saiznya terlampau besar atau terlalu kecil, maka ia tidak akan nampak cantik di atas dulang tersebut.

Source: Pinterest.com

Jika anda menggunakan sangkar burung atau kotak kaca sebagai dulang, maka pastikan kotak barangan atau set pakaian tersebut dapat muat untuk dimasukkan ke dalam sangkar tersebut. Jika dulang anda bersifat terbuka, seperti dulang putih, dulang berkaki, dulang kayu palet, maka ia tidak akan menjadi masalah besar.

Tip #9 – Tentukan Siapa yang Akan Menggubah Dulang

Antara tip seterusnya dalam memilih barang perkahwinan adalah menetapkan siapakah yang akan menggubah dulang tersebut. Ia adalah untuk mengelakkan salah faham di kemudian hari. Yelah, barang dah ada, dulang dah ada, yang tidak ada adalah orang yang hendak menghiasnya!

Source: Ezmaliza.blogspot.my

Selalunya, jika anda ada ahli keluarga atau saudara mara yang mahir dalam hias-menghias, anda hanya perlu menggunakan khidmatnya. Namun, jika tiada seorang pun yang anda kenal, maka anda boleh mendapatkan khidmat syarikat perkahwinan untuk menghias hantaran kahwin lelaki dan perempuan.

Mereka akan memberikan pakej harga kepada anda. Harganya akan menjadi lebih murah jika anda telah menyediakan segala-galanya – dulang, aksesori hiasan, dan barang. Yang tinggal hanyalah untuk si penggubah yang di upah untuk menghiasnya sahaja.

Source: Youtube.com

Kalau anda ingin membuat dulang hantaran DIY, jom tengok tutorial menggubah dulang hantaran kahwin di bawah:

Tip #10 – Jangan Berlebih-Lebihan

Akhir sekali, tip terakhir memilih barang hantaran perkahwinan yang ingin kami kongsikan dengan anda adalah ini: jangan berlebih-lebihan. Dulang hantaran hanyalah secebis daripada keseluruhan majlis perkahwinan anda. Ada banyak lagi kos lain yang perlu difikirkan.

Source: Pinterest.com

Jika anda berhabis-habisan untuk dulang, barangan dan aksesorinya, takut-takut nanti, anda tidak akan cukup bajet untuk perkara penting lain seperti tempahan dewan, kad kahwin, bayaran tok kadi, hadiah goodies, katering, dan sebagainya.

Beringat-ingatlah di dalam membeli barang hantaran kahwin anda. Yang paling penting, ianya lengkap dan tampil cantik. Semua orang pasti akan puas hati!

Kalau anda ada tips lain lagi untuk bakal pengantin, jangan lupa untuk berkongsi dengan kami di ruangan komen di bawah ya!

Comments

Leave a Reply